PENGENALAN
Sastera, umumnya mempunyai pelbagai genre. Genre sastera ini berasal daripada perkataan Perancis yang membawa
maksud “jenis” atau “tipa” (Ali Ahmad, 1994). Hal ini merupakan satu istilah
dalam sastera yang dapat memperlihatkan pembahagian keseluruhan karya kepada
kelompok tertentu berdasarkan sifat bentuk atau teknik. Lantaran itu, setiap genre sastera ini merupakan cerminan
kepada kandungan sesebuah teks sastera tersebut. Sungguhpun begitu, genre sastera kerohanian juga seringkali
ditonjolkan oleh pengarang terutamanya bagi pengarang zaman lampau. Menurut R.O
Winstedt, karya sastera kerohanian ialah karya sastera hasil pengaruh
Arab-Parsi yang diadaptasi ke dalam Bahasa Melayu (Mohd Kamal Hassan, 1980). Namun
demikian, Dr. Ismail Ibrahim pula, berpendapat bahawa sastera Islam adalah
hasil tulisan yang berasaskan tauhid (Shafie Abu Bakar, 1980). Secara
keseluruhannya, hasil sastera kerohanian menekankan bahawa sastera ini membawa
nilai-nilai keislaman dan sistem ini meliputi aspek cara hidup serta amalan
seharian manusia.
Sastera kerohanian biasanya mengetengahkan tema eskatologi.
Tema ini turut membicarakan alam kehidupan selepas kematian dan dapat memberi
pengajaran kepada manusia berdasarkan al-quran, hadis, kitab ulama dan
sebagainya. Sastera sebegini selalunya meletakkan nilai metafizik, kenabian,
keilmuan, pendidikan dan kepahlawanan sebagai batu asas kepada hasil penulisan
karya sastera. Tujuannya hanyalah untuk menanam akidah keislaman, akhlak dan pendidikan
secara tidak langsung kepada manusia sejagat. Pada masa yang sama, seni sastera
Islam ini turut memaparkan pertemuan yang saling menyempurnakan antara
“keindahan” dan “kebenaran”. Keindahan ialah hakikat alam tercipta manakala
kebenaran adalah puncak dari keindahan. Sastera kerohanian yang menonjolkan
unsur ini dengan jelas ialah “Syair Kiamat”. Syair ini ditulis untuk memberi
peringatan kepada kita yang masih hidup agar berhati-hati supaya tidak
melakukan maksiat dan dosa yang lain. Pada masa yang sama, syair ini turut
memaparkan setiap kesalahan yang dilakukan oleh manusia dan balasan yang akan
diterima sekiranya melakukan maksiat. Secara tidak langsung, saya menyokong
bahawa sastera kerohanian boleh menjadi medium sokongan yang berkesan dalam pendidikan
agama Islam kepada masyarakat kini. Sungguhpun begitu, terdapat juga beberapa
kekurangan yang menghalang karya sastera kerohanian daripada menjadi perantara
pendidikan secara tidak langsung kepada masyarakat.
SASTERA
KEROHANIAN SEBAGAI PENGAJARAN KEPADA MANUSIA.
Sastera kerohanian sangat berkesan dalam
menceritakan kepada masyarakat bahawa terdapat perkara-perkara mungkar yang
dilakukan oleh manusia masa lampau yang akan mendapat balasan daripada Allah
SWT kelak. Terdapat juga penceritaan mengenai balasan kebaikan supaya manusia
melakukan amar makruf dalam
kehidupan harian.
i.
Balasan azab neraka bagi yang derhaka.
Dalam Syair Kiamat, pengarang menceritakan
kisah-kisah azab seksaan yang akan diterima oleh manusia kerana ingkar akan
perintah Allah. Sebagai contoh:
Sesama Islam disabung-sabung,
Kata
sepatah dihubung-hubung,
Inilah
perbuatan orang yang sombong,
Neraka
pun datang hendak mengepung.
(Muhammad Fanani,1996)
Dalam rangkap ini
umpamanya, pengarang menceritakan betapa seksanya azab yang akan diterima oleh
manusia di dalam neraka sekiranya melakukan dosa semasa hayatnya di dunia. Balasan ini merupakan azab untuk orang yang
sombong sesama makhuk ciptaan Allah semasa di dunia. Balasan ini boleh
dibuktikan dengan jelas apabila Allah mengingatkan manusia dalam surah
Al-Mukmin ayat 44 hingga 46 yang bermaksud:
Kelak kamu akan ingat kepada apa
yang aku katakan kepada kamu. Dan aku menyerahkan urusanku kepada allah s.w.t.
sesungguhnya allah maha melihat akan hamba-hambanya. Maka Allah s.w.t
memeliharanya daripada kejahatan tipu daya mereka, dan firaun berserta kaumnya
dikepung oleh azab yang amat buruk. Kepada mereka diperlihatkan neraka pada
waktu pagi dan petang, dan pada hari terjadinya kiamat. (Dikatakan kepada
malaikat), masuklah firaun dan keluarganya ke dalam azab yang sangat keras.
(Al-Mukmin:
44-46)
Dalil ini mengingatkan
manusia betapa seksanya azab seksaan Allah kepada orang yang melakukan dosa di
akhirat kelak. Bahkan, terdapat pelbagai seksaan yang menanti manusia di
akhirat sekiranya mereka melakukan dosa. Oleh itu, “Syair Kiamat” ini telah
memperlihatkan kepada manusia salah satu azab seksaan yang akan diterima
sekiranya bersikap sombong sesama manusia ketika hayat di dunia.
ii.
Ganjaran syurga bagi yang bertaqwa
Pengarang juga menjelaskan dalam
karyanya ganjaran kebaikan yang telah dilakukan oleh manusia semasa hidup di
dunia. Mereka akan mendapat ganjaran syurga seperti yang telah dinukilkan dalam
syair ini.
Anak bidadari kiri dan kanan,
Membawa hidangan
makan-makanan,
Beberapa banyak perhimpunan,
Makanlah ia barang yang berkenan.
(Muhammad
Fanani,1996)
Dalam rangkap ini,
penyair mengisahkan tentang ganjaran yang bakal diterima oleh golongan yang
mendapat ganjaran syurga. Mereka bebas menikmati pelbagai hidangan yang ada di
dalam syurga serta adanya bidadari yang menemani mereka sepanjang masa. Maksud
ini juga telah dijelaskan oleh Allah dalam surah Ad-Dahr yang bererti:
“Mereka tidak merasakan di
dalamnya terik matahari dan tidak pula dingin yang sangat. Dan naungan
(pohon-pohon) dekat di atas mereka dan buahnya mudah dipetik.”
(Ad-Dahr:
13-14)
Gambaran syurga sangat
jelas diceritakan dalam al-quran dan juga diceritakan oleh alim ulama supaya
manusia berbuat baik di dunia. Sungguhpun begitu, pengarang juga ada
menceritakan beberapa lagi gambaran tentang ganjaran syurga supaya dapat
dijadikan pengajaran kepada masyarakat.
Dalam
syair kiamat ini, penyair telah menceritakan secara jelas tentang ganjaran yang
bakal diterima oleh manusia sama ada baik ataupun buruk apabila berlakunya hari
kiamat nanti. Penceritaan ini secara tidak langsung mampu menjadi medium
terbaik kepada masyarakat supaya berbuat baik selagi hayat dikandung badan.
SASTERA KEROHANIAN GERBANG PENDIDIKAN TIDAK FORMAL
SEHARIAN
Penggunaan bahasa yang bersifat
indah dan berseni dalam karya sastera mampu menjadi aset penting dalam usaha
mendidik masyarakat secara tidak langsung. Hal ini demikian kerana, penggunaan
bahasa yang halus dan sopan dapat memikat masyarakat supaya mengambil ikhtibar
daripada kisah-kisah yang disampaikan melalui karya sastera walaupun pendidikan
ini secara tidak langsung. Pendidikan secara tidak langsung ini bererti
masyarakat dalam mempelajarinya walaupun tidak diajar oleh seorang guru di sekolah
atau institusi pendidkan secara sistematik.
iii.
Rukun Islam
Dalam konteks ini, pengarang juga
menyelitkan unsur-unsur yang wajib dipercayai oleh manusia seperti rukun Islam.
Penyelitan kepercayaan ini sememangnya memberi pendidikan kepada pembaca
walaupun secara tidak langsung. Hal ini demikian kerana, penyelitan ini
membolehkan pembaca mengetahui bahawa rukun Islam wajib dipatuhi oleh manusia
dan akan menerima azab sekiranya mengingkarinya. Antara rangkap yang memaparkan
maksud ini adalah seperti berikut:
Orang yang puasa sangatlah mulia,
Diba/ha/gikan Allah
kepada dia,
Balas ilmunya di dalam
dunia,
Berlapar, dahaga sebab
percaya.
(Muhammad
Fanani, 1996)
Dalam rangkap ini jelas
menunjukkan bahawa Allah S.W.T sangat menyukai orang yang mematuhi segala
perintahnya. Mereka akan menerima balasan yang setimpal dengan amalan yang
dilakukan semasa hayat mereka di dunia. Allah S.W.T juga menyeru umat manusia
supaya mematuhi rukun Islam agar mendapat kesenangan di akhirat kelak.
iv.
Amalan kehidupan harian
Syair kerohanian juga mengajar manusia
supaya melakukan amalan harian dengan baik dan sentiasa beringat dalam setiap
tindakan. Hal ini demikian kerana, setiap tindakan yang dilakukan mesti akan
dihitung oleh Allah semasa hari pembalasan kelak. Justeru, pengarang turut
mengingatkan pembaca supaya mencari nafkah yang halal dan sentiasa menuntut
ilmu. Contohnya seperti rangkap ini:
Harta itu harus dicari,
Serta ilmu engkau
pelajari,
Amalkan olehmu
sehari-hari,
Supaya selamat badan
sendiri.
(Muhammad Fanani,1996)
Dalam rangkap ini pengarang telah
berpesan kepada manusia supaya mencari harta dan menuntut ilmu. Harta tanpa
ilmu sudah tentu akan menyesatkan manusia. Sekiranya harta yang dikumpul dengan
banyak dan dari sumber yang halal ditambah pula dengan ilmu yang mantap didada,
sudah tentu menjadi pelindung kepada manusia agar tidak terbabas dalam
menjalani kehidupan harian dengan sempurna. Kita boleh lihat kisah Nabi Ayyub a.s
yang merupakan seorang hamba yang soleh ataupun penyabar. Allah pernah
memberikan kekayaan kepada beliau dan kemudian mencabutnya semula. Dalam
keadaan kaya dan miskin beliau bersederhana dan tenang sahaja. Inilah sifat
yang patut dicontohi oleh umat manusia kini. Oleh hal yang demikian, harta yang
diberi oleh Allah S.W.T sebenarnya ingin menguji keimanan manusia sekiranya,
tanpa ilmu di dada sudah tentu manusia akan leka mengejarnya hingga terbabas
dari landasan kehidupan hakiki.
v.
Rukun iman
Dalam teks ini, pengarang juga
menceritakan tugas-tugas malaikat. Sebagai hamba kepada pencipta yang agung,
manusia haruslah mempercayai kewujudan malaikat dengan sebaiknya. Hal ini
demikian kerana, beriman dengan malaikat akan dituntut oleh Allah di akhirat
kelak. Rangkap yang menerangkan kisah ini adalah seperti berikut:
Tatkala kiamat
sudahlah nyata,
Malakulmaut pun datanglah serta,
Mengambil nyawa/h sekaliannya rata,
Habislah mati sekaliannya kita.
(Muhammad Fanani,1996)
Dalam rangkap ini pengarang menceritakan
tugas malaikat Izrail untuk mengambil nyawa manusia. Sebagai seorang hamba,
kita wajib mempercayainya kerana malaikat Izrail sememangnya akan memgambil
nyawa manusia mengikut masa dan ketikanya yang telah diputuskan oleh Allah S.W.T.
Al-qurtubi memberi komen dalam kitab at-tazkirah; menurut ulama-ulama kita
melihat barangsiapa yang melihatnya pasti akan terperanjat ketakutan, lantaran
hebat dan bengisnya. Namun demikian, tidak ada yang mengetahui hakikat ini
kecuali orang yang melihatnya (Muhammad Kamal Qhilab, 1994). Demikianlah,
sekilas pandang mengenai malaikat Izrail yang tugasnya mengambil nyawa manusia.
Oleh hal yang demikian, manusia mestilah mempercayai kewujudan malaikat kerana
telah menjadi sebahagian daripada makhluk ciptaan Allah yang wajib dipercayai
oleh setiap manusia yang bergelar hamba.
Secara
tidak langsung, sastera kerohanian telah menunjukkan kepada masyarakat bahawa
kandungan teks sastera kerohanian ini mampu mendidik manusia supaya mendalami
ilmu keagamaan ekoran terdapat unsur pendidikan keagamaan dalam teks-teks sastera
kerohaniaan. Oleh hal yang demikian, sastera kerohanian mampu menjadi medium
sokongan terbaik dalam memberi pendidikan keagamaan kepada masyarakat.
SASTERA KEROHANIAN MEMBERI PERINGATAN KEPADA MANUSIA
Sastera
kerohanian juga mampu menjadi sumber peringatan kepada manusia agar tidak
mengulangi peristiwa masa lampau yang telah dilakukan oleh kaum terdahulu.
Mereka kebanyakan mengingkari perintah Allah dan Rasul. Akhirnya, mereka
dikenakan hukuman yang setimpal oleh Allah di akhirat kelak. Dalam syair kiamat
juga diceritakan kaum-kaum yang menerima azab daripada Allah, golongan yang
terlepas daripada azab seksaan dan peristiwa-peristiwa yang berlaku sebelum
berlakunya kiamat. Hal ini secara tidak langsung akan menyebarkan agama Islam
kepada masyarakat.
vi.
Kaum-kaum yang mendapat azab seksaan
Dalam “Syair Kiamat” ini telah
diceritakan oleh pengarang tentang seksaan yang diterima oleh manusia yang
ingkar akan suruhan Allah. Mereka akan menerima seksaan mengikut kesalahan yang
dilakukan semasa hidup di dunia. Rangkap yang menceritakan berkaitan kaum ini
ialah:
Dua belas kaum sekaliannya,
Dibangkitkan Allah daripada
kuburnya,
Masing-masing atas
kadarnya,
Menerimalah balas
perbuatannya.
(Muhammad Fanani,1996)
Dalam “Syair Kiamat” ini telah
diceritakan setiap hukuman yang akan diterima oleh dua belas kaum yang akan
mendapat azab seksaan lantaran kesalahan yang dilakukan semasa hidup di dunia.
Allah S.W.T juga telah menyatakan dalam surah Ibrahim yang bermaksud:
“Dan
di belakang orang takbur dan berani itu neraka jahanam dan diberi minum air
dari darah campur nanah. Dia minum minuman itu hampir-hampir tidak dapat
menelan, dan ia kedatangan maut dari semua arah, akan tetapi tidak dapat mati
dan di belakang orang itu diseksa yang amat berat”.
(Ibrahim: 16-17)
Secara keseluruhannya,
azab-azab yang diterima oleh dua belas kaum ini mampu memberi pengajaran kepada
masyarakat supaya sentiasa berpegang teguh pada ajaran Islam yang sederhana dan
memiliki keperibadian yang terpuji. Pada masa yang sama juga akan mengajar
masyarakat erti mentauhidkan Allah S.W.T. semasa hidup di dunia.
vii.
Peristiwa sebelum kiamat
Pengarang juga menceritakan gambaran
berlakunya hari kiamat mengikut kronologi yang lengkap. Setiap peringkat yang
diterangkan oleh pengarang ini mampu memberi keinsafan dan mengajar masyarakat
supaya beriman terhadap hari kiamat kerana hari kiamat pasti akan berlaku.
Berikut merupakan rangkap yang menerangkan berkaitan peristiwa sebelum
berlakunya kiamat:
Inilah pasal suatu cerita,
Tandanya kiamat diberi
nyata,
Dengan kehendak tuhannya
kita,
Diturunkan Allah dajal
yang dusta.
(Muhammad Fanani,1996)
Dalam rangkap ini pengarang menceritakan
tentang penurunan Almasih Dajjal ke negeri Syam dan Rum. Ketika itu negeri
tersebut sangat kering dan mengalami masalah kelaparan hingga ramai penduduk
yang meninggal akibat kelaparan. Penurunan Almasih Dajjal juga telah
menyebabkan ramai umat Islam yang terpesong dengan tipu daya Almasih Dajjal.
Almasih membawa maksud seorang pengembara manakala, Dajjal bererti banyak
dustanya dan juga penipuannya (Moh. Abdai Rathomy, 1978). Dalam hadis juga
telah dikhabarkan oleh Rasulullah s.a.w tentang Almasih Dajjal ini yang
bermaksud:
Tiada seorang Nabi pun yang diutus Allah, melainkan
Nabi itu pasti menakut-nakuti kepada ummatnya perkara dajjal tadi. Dajjal itu
akan keluar kepadamu semua, kemudian tidak samar-samar lagi bagimu semua akan
hal-ikhwalnya dan tidak samar-samar untukmu semua, bahawa tuhanmu itu
benar-benar tidak bermata sebelah. Sesungguhnya Dajjal itu bermata sebelah,
yang tidak dapat digunakan yang sebelah kanan (yang dapat melihat adalah
sebelah kiri), seolah-olah matanya itu menonjol ke muka.
(Diriwayatkan
oleh Imam Bukhari dan Muslim)
Secara
kesimpulannya, syair kerohanian ini menceritakan kepada masyarakat bahawa akan
berlakunya penurunan Almasih Dajjal yang akan menghuru-harakan dunia sebelum
berlakunya kiamat. Justeru, sebagai manusia yang mempercayai kewujudan Allah,
kita mestilah mempercayai bahawa akan berlakunya saat ini. Oleh hal yang demikian,
akan kukuhlah kepercayaan dihati bahawa akan berlakunya saat-saat ini seperti
yang diceritakan didalam “Syair Kiamat” dan besertakan kebenaran hadis nabi.
viii.
Golongan yang terlepas dari azab seksaan neraka
Pengarang juga menceritakan beberapa
golongan yang terlepas daripada seksaan azab neraka. Apabila diceritakan hal
ini, masyarakat secara tidak langsung akan mendapat maklumat bahawa amal
kebaikan yang dilakukan akan mendapat balasan yang baik. Justeru, akan menjadi
pendidikan agama secara tidak langsung berlandaskan al-Quran dan as-sunnah.
Antara rangkap yang menceritakan berkaitan golongan ini adalah:
Ini pula suatu riwayatnya,
Di dalam hadis
tersebutnya,
Sepuluh kaum sekaliannya,
Bahaya kiamat lepas padanya.
(Muhammad Fanani,1996)
Dalam syair ini,
pengarang menceritakan terdapat sepuluh golongan yang terlepas daripada azab
seksaan pada hari kiamat nanti. Golongan ini terdiri daripada orang yang sentiasa
menegakkan syiar Islam walau dimana mereka berada. Hal ini telah memberi
pendidikan kepada masyarakat kini.
Secara
keseluruhannya, sastera kerohanian ini mampu memberi pengajaran kepada
masyarakat kini kerana penyair menceritakan peristiwa-peristiwa yang berlaku
semasa di akhirat kelak ekoran amalan yang dilakukan semasa hidup di dunia.
Oleh hal yang demikian, masyarakat akan sentiasa melakukan kebaikan kerana
ingin mendapat ganjaran yang baik di akhirat nanti.
Sungguhpun
sastera kerohanian mampu menjadi medium sokongan terbaik dalam pendidikan agama
Islam kepada masyarakat, terdapat juga beberapa kelemahan yang menyebabkan
sastera kerohanian ini tidak dapat menyampaikan mesejnya dengan sempurna. Hal
ini disebabkan sesebuah karya sastera itu dikarang mengikut zamannya dan
penggunaan bahasa juga mempunyai sedikit kelainan. Lantaran itu, terdapat
beberapa kekangan dari segi latar masa dan persekitaran masyarakat tersebut.
PERCANGGAHAN TAFSIRAN MELALUI TEKS KARYA SASTERA
MAKSUD YANG KURANG JELAS
Dalam
sesebuah karya sastera, pengarang menggunakan bahasa tinggi kerana ingin
menonjolkan nilai teks sastera tersebut. Kadang kala, bahasa yang digunakan ini
sukar difahami oleh pembaca hingga menyebabkan tafsiran maksud yang ingin
disampaikan oleh pengarang menjadi terpesong dari maksud asal. Hal ini demikian
kerana, setiap pembaca mempunyai kemampuan untuk mentafsir yang berbeza.
Antaranya adalah seperti berikut:
Mahligai bertatah mutiara di karang,
Intan permata beberapa
kerang,
Dindingnya kaca yang
amat terang,
Kemuncupnya jamrut
sangat benderang.
(Muhammad
Fanani,1996)
Dalam
rangkap ini umpamanya, pengarang cuba menerangkan gambaran syurga kepada
pembaca. Sekiranya pembaca tidak pernah mengetahui gambaran syurga, sudah tentu
mereka tidak dapat mengetahui maksud yang ingin disampaikan oleh pengarang
dengan jelas. Dalam surah Al-Waqi’ah juga Allah s.w.t telah menggambarkan
keadaan syurga tersebut yang bermaksud:
Para
ahli syurga itu sama duduk-duduk di atas pelami-pelamin yang bertatahkan emas
dan batu permata, mereka duduk bersandar di atasnya, berhadap-hadapan.
Merekapun dikelilingi oleh ana-anak muda yang tetap muda.
(Al-Waqi’ah: 15-17)
Pada
masa yang sama juga, pengarang juga menggunakan bahasa Melayu lama dan bahasa Arab
yang sukar difahami oleh pembaca. Sekiranya pembaca tidak mempunyai pengetahuan
yang tinggi tentang bahasa melayu lama, sudah tentu mereka tidak dapat meneka
maskud yang ingin disampaikan oleh penyair. Justeru, matlamat untuk menjadi medium
sokongan terbaik dalam memberi pendidikan agama kepada masyarakat akan menjadi
semakin sukar. Umpamanya:
Inilah firman Tuhan kita,
Al-lazina la ya’tuna
z-zakata,
Wa hum bi i-akhirati
pula dikata,
Hum kafiruna sekalian
kita.
(Muhammad
Fanani,1996)
Pengarang
menggunakan perkataan Arab untuk menyampaikan mesej kepada pembaca. Sungguhpun
begitu, maksud rangkap yang ingin disampaikan ini tidak diceritakan dengan
terperinci kepada pembaca. Justeru, maksudnya akan menjadi semakin sukar untuk
difahami walaupun ayat tersebut merupakan firman Allah s.w.t yang seringkali diungkapkan oleh
masyarakat ataupun alim ulama.
PENCERITAAN YANG KURANG MENYELURUH
Dalam
“Syair Kiamat” umpamanya, pengarang menceritakan kepada pembaca gambaran hari akan
berlakunya kiamat, saat-saat mendapat seksaan neraka dan golongan-golongan yang
menerima azab. Sungguhpun begitu, setiap penceritaan ini tidak disampaikan
dengan menyeluruh oleh pengarang dan hanya menceritakan peristiwa tertentu
sahaja seperti berikut:
Di atas kenderaan ia berjuang,
Pantasnya bukan alang-kepalang;
Di atas titian sangat terbilang,
Ke dalam syurga tempatnya pulang.
(Muhammad
Fanani,1996)
Dalam
rangkap ini, pengarang menceritakan perjalanan manusia melintasi titian sirat
semasa di akhirat kelak. Namun demikian, pengarang tidak menceritakan bahawa
gambaran tersebut merupakan kisah untuk melintasi titian sirat mengikut amal
ibadat yang dilakukan semasa hayat di dunia. Oleh hal yang demikian, maksud
yang ingin disampaikan menjadi kabur dan menyebabkan pembaca tertanya-tanya
maksud yang ingin disampaikan oleh pengarang. Dalam hal ini, gambaran cerita
yang lebih jelas dapat dilihat daripada sebuah cerita daripada Imam Wahab
pernah berkata, bahawa Nabi s.a.w berdoa:
Ya Allah, selamatkanlah!!!......selamatkanlah
umatku….!!! Amak para manusia sama melintasi jambatan. Sebahagian mereka
melintasi jambatan yang licin dan sangat tajam itu sampai bergoyang gementar
ketakutan. Maka lewatlah:
1.
Golongan
pertama seperti kilat yang memancar
2.
Golongan
kedua seperti angin lebat yang menghembus
3.
Golongan
ketiga seperti burung yang terbang cepat
4.
Golongan
keempat seperti larinya kuda pacuan
5.
Golongan
kelima seperti larinya lelaki yang kuat
6.
Golongan
keenam seperti larinya binatang ternak
7. Golongan ketujuh selama sehari semalam
(M.Ali Chasan Umar, 1980)
Berikut
merupakan gambaran perjalanan manusia yang melintasi titian sirat yang telah
digambarkan kepada manusia. Lantaran itu, penceritaan yang kurang menyeluruh
akan menyebabkan masyarakat kekaburan maklumat mengenai gambaran perjalanan di
titian sirat tersebut hinggakan maksud yang ingin disampaikan kurang berkesan
kepada masyarakat.
Secara
keseluruhannya, sastera kerohanian ini boleh menjadi medium sokongan terbaik
dalam mengajar pendidikan Islam sekiranya pengarang menyampaikan cerita
tersebut dengan lebih mudah untuk difahami oleh pembaca. Sekiranya perkataan
yang digunakan mudah difahami dan berkesan sudah tentu maksud yang ingin
disampaikan kepada pembaca lebih berkesan dan sampai kepada pembaca dengan
berkesan. Oleh hal yang demikian, sastera kerohanian ini mampu menjadi
penyokong kepada pendidikan keagamaan kepada masyarakat.
KESIMPULAN
Sastera
keagamaan merupakan sebuah karya sastera yang berteraskan keislaman sepertimana
yang diungkapkan oleh Shahnon Ahmad: sastera kerana Allah, berhikmah untuk
manusia sejagat (Shafie Abu Bakar, 1980). Apabila sastera ini menggambarkan
penceritaan tentang hari akhirat, balasan-balasan tentang kekhilafan yang
dilakukan semasa hidup di dunia dan ganjaran yang diperoleh maka, pembaca boleh
mengetahui sedikit sebanyak berkaitan agama Islam walaupun secara tidak
langsung. Peranan sastera kerohainan ini mampu mendidik masyarakat dengan
ilmu-ilmu keagamaan untuk sujud kepada Allah S.W.T. Hal ini demikian kerana,
setiap rangkap sastera keagamaan mempunyai unsur nasihat dan pengajaran kepada
pembaca. Secara tidak langsung, pembaca akan mengetahui amar makruf dan nahi mungkar
dalam kehidupan harian.
Selain
itu, sastera kerohanian juga mampu menanam akidah Islam dalam jiwa masyarakat
ekoran wujudnya amalan-amalan yang wajib dipercayai oleh masyarakat Islam
seperti rukun Islam dan rukun Iman. Secara tidak langsung akan menyebabkan
masyarakat menjadi lebih bertaqwa kepada Allah. Hal inilah yang menyebabkan
sastera kerohanian mampu menjadi medium sokongan terbaik dalam pendidikan agama
Islam kepada masyarakat.
Di
samping itu, sastera kerohanian juga mempunyai sedikit kekurangan kerana
terdapat sesetengah maksud yang ingin disampaikan oleh pengarang melalui karya
sastera sukar difahami oleh pembaca. Lantaran itu, pembaca tidak dapat menafsir
maksud tersebut dengan baik hinggakan maksud sebenar karya sastera tersebut
tidak sampai kepada pembaca dengan baik. Oleh hal yang demikian, karya sastera
kerohanian yang bertujuan mendidik masyarakat tidak tercapai matlamat asalnya.
Secara
keseluruhannya, sastera kerohanian mampu menjadi medium sokongan terbaik kepada
pendidikan agama Islam kepada masyarakat walaupun terdapat beberapa kekurangan.
Kekurangan tersebut sebenarnya boleh diatasi sekiranya pembaca memiliki ilmu
yang tinggi kerana sastera kerohanian juga turut menekankan unsur dakwah kepada
masyarakat. Oleh hal yang demikian, sastera kerohanian sangat sesuai untuk
menyokong mendidikan agama Islam kepada masyarakat sejagat berdasarkan
ciri-ciri karya tersebut seperti “Syair Kiamat” yang banyak mendidik manusia
untuk mengingati akhirat berlandaskan al-quran dan as-sunnah. Hal inilah yang
dikatakan bahawa sastera kerohanian mampu menjadi pendidikan tidak langsung
dalam mengajar unsur keagamaan kepada masyarakat.
RUJUKAN
Abdul Aziz, 1986. Hari Kiamat, Hari Akhirat, Hari Pembalasan. Singapura: Pustaka
Nasional, PTE. LTD.
Abdul Razak
Naufal, 1976. Hari Kiamat. Singapura:
Pustaka Nasional.
Abdul Razak
Naufal, 1977. Hari Akhirat. Singapura:
Pustaka Nasional.
Al-Mubin
Terjemahan Al-Hidayah Al-Quran Al Karim (Rasm Uthmani),
2012. Kuala Lumpur: Al Hidayah house of Qur’an SDN BHD.
Ali Ahmad, 1994. Pengantar Pengajian Kesusasteraan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan
Pustaka.
M. Ali Chasan Umar, 1980. Mahkamah di Padang Mashsyar. Singapura: Alharaman
PTE. LTD.
Moh. Abdai Rathony, 1978. Inilah Hari Pembalasan (Kiamat). Indonesia:
R.T Alma’Arif. Bandung,
Muhammad Kamal Qhilab, 1994. Taman Syurga atau Lubang Neraka. Kuala
Lumpur: Dinie Publisher.
Muhammad
Fanani, 1996. Syair Kiamat dalam Sastra
Indonesia Lama. Jakarta: Pusat Pembinaan dan Pengembangan Bahasa, Departemen
Pendidikan Nasional.
Mohd. Kamal Hassan, 1980. Sastera Islam dalam Sastera Pemikiran Kesusasteraan Islam (Gabungan Penulis Islam Melayu).
Kuala Lumpur: Gabungan Penulis Islam Malaysia (GAPIM).
Noriah Taslem, 1993. Teori dan Kritikan Sastera Melayu
Tradisional. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka
Shafie Abu Bakar, 1980. Kertas 1 Sastera Melayu dan Islam dalam Sastera Pemikiran Kesusasteraan Islam
(Gabungan Penulis Islam Melayu). Kuala Lumpur: Gabungan Penulis Islam
Malaysia (GAPIM).
Shahnon Ahmad, 1980. Kertas 2 Sastera Melayu dan Islam dalam Sastera Pemikiran Kesusasteraan Islam
(Gabungan Penulis Islam Melayu). Kuala Lumpur: Gabungan Penulis Islam
Malaysia (GAPIM).
Syaikh Abdul
Hamid Kusyuk, 1984. Hari Kebenaran. Kuala
Lumpur: Alharamain SDN. BHD.