Thursday, 7 February 2013

SYAIR KIAMAT SEBAGAI MEDIUM SOKONGAN PENDIDIKAN SECARA TIDAK FORMAL KEPADA MASYARAKAT


PENGENALAN
Sastera, umumnya mempunyai pelbagai genre. Genre sastera ini berasal daripada perkataan Perancis yang membawa maksud “jenis” atau “tipa” (Ali Ahmad, 1994). Hal ini merupakan satu istilah dalam sastera yang dapat memperlihatkan pembahagian keseluruhan karya kepada kelompok tertentu berdasarkan sifat bentuk atau teknik. Lantaran itu, setiap genre sastera ini merupakan cerminan kepada kandungan sesebuah teks sastera tersebut. Sungguhpun begitu, genre sastera kerohanian juga seringkali ditonjolkan oleh pengarang terutamanya bagi pengarang zaman lampau. Menurut R.O Winstedt, karya sastera kerohanian ialah karya sastera hasil pengaruh Arab-Parsi yang diadaptasi ke dalam Bahasa Melayu (Mohd Kamal Hassan, 1980). Namun demikian, Dr. Ismail Ibrahim pula, berpendapat bahawa sastera Islam adalah hasil tulisan yang berasaskan tauhid (Shafie Abu Bakar, 1980). Secara keseluruhannya, hasil sastera kerohanian menekankan bahawa sastera ini membawa nilai-nilai keislaman dan sistem ini meliputi aspek cara hidup serta amalan seharian manusia.
Sastera kerohanian biasanya mengetengahkan tema eskatologi. Tema ini turut membicarakan alam kehidupan selepas kematian dan dapat memberi pengajaran kepada manusia berdasarkan al-quran, hadis, kitab ulama dan sebagainya. Sastera sebegini selalunya meletakkan nilai metafizik, kenabian, keilmuan, pendidikan dan kepahlawanan sebagai batu asas kepada hasil penulisan karya sastera. Tujuannya hanyalah untuk menanam akidah keislaman, akhlak dan pendidikan secara tidak langsung kepada manusia sejagat. Pada masa yang sama, seni sastera Islam ini turut memaparkan pertemuan yang saling menyempurnakan antara “keindahan” dan “kebenaran”. Keindahan ialah hakikat alam tercipta manakala kebenaran adalah puncak dari keindahan. Sastera kerohanian yang menonjolkan unsur ini dengan jelas ialah “Syair Kiamat”. Syair ini ditulis untuk memberi peringatan kepada kita yang masih hidup agar berhati-hati supaya tidak melakukan maksiat dan dosa yang lain. Pada masa yang sama, syair ini turut memaparkan setiap kesalahan yang dilakukan oleh manusia dan balasan yang akan diterima sekiranya melakukan maksiat. Secara tidak langsung, saya menyokong bahawa sastera kerohanian boleh menjadi medium sokongan yang berkesan dalam pendidikan agama Islam kepada masyarakat kini. Sungguhpun begitu, terdapat juga beberapa kekurangan yang menghalang karya sastera kerohanian daripada menjadi perantara pendidikan secara tidak langsung kepada masyarakat.

SASTERA KEROHANIAN SEBAGAI PENGAJARAN KEPADA MANUSIA.
Sastera kerohanian sangat berkesan dalam menceritakan kepada masyarakat bahawa terdapat perkara-perkara mungkar yang dilakukan oleh manusia masa lampau yang akan mendapat balasan daripada Allah SWT kelak. Terdapat juga penceritaan mengenai balasan kebaikan supaya manusia melakukan amar makruf  dalam kehidupan harian.

        i.            Balasan azab neraka bagi yang derhaka.
Dalam Syair Kiamat, pengarang menceritakan kisah-kisah azab seksaan yang akan diterima oleh manusia kerana ingkar akan perintah Allah. Sebagai contoh:
                        Sesama Islam disabung-sabung,
                        Kata sepatah dihubung-hubung,
Inilah perbuatan orang yang sombong,
Neraka pun datang hendak mengepung.
                                                                        (Muhammad Fanani,1996)

Dalam rangkap ini umpamanya, pengarang menceritakan betapa seksanya azab yang akan diterima oleh manusia di dalam neraka sekiranya melakukan dosa semasa hayatnya di dunia.  Balasan ini merupakan azab untuk orang yang sombong sesama makhuk ciptaan Allah semasa di dunia. Balasan ini boleh dibuktikan dengan jelas apabila Allah mengingatkan manusia dalam surah Al-Mukmin ayat 44 hingga 46 yang bermaksud:
Kelak kamu akan ingat kepada apa yang aku katakan kepada kamu. Dan aku menyerahkan urusanku kepada allah s.w.t. sesungguhnya allah maha melihat akan hamba-hambanya. Maka Allah s.w.t memeliharanya daripada kejahatan tipu daya mereka, dan firaun berserta kaumnya dikepung oleh azab yang amat buruk. Kepada mereka diperlihatkan neraka pada waktu pagi dan petang, dan pada hari terjadinya kiamat. (Dikatakan kepada malaikat), masuklah firaun dan keluarganya ke dalam azab yang sangat keras.
                                                                                    (Al-Mukmin: 44-46)
Dalil ini mengingatkan manusia betapa seksanya azab seksaan Allah kepada orang yang melakukan dosa di akhirat kelak. Bahkan, terdapat pelbagai seksaan yang menanti manusia di akhirat sekiranya mereka melakukan dosa. Oleh itu, “Syair Kiamat” ini telah memperlihatkan kepada manusia salah satu azab seksaan yang akan diterima sekiranya bersikap sombong sesama manusia ketika hayat di dunia.

      ii.            Ganjaran syurga bagi yang bertaqwa
Pengarang juga menjelaskan dalam karyanya ganjaran kebaikan yang telah dilakukan oleh manusia semasa hidup di dunia. Mereka akan mendapat ganjaran syurga seperti yang telah dinukilkan dalam syair ini.
                                    Anak bidadari kiri dan kanan,
                                    Membawa hidangan makan-makanan,
Beberapa banyak perhimpunan,
Makanlah ia barang yang berkenan.
                                                                        (Muhammad Fanani,1996)

Dalam rangkap ini, penyair mengisahkan tentang ganjaran yang bakal diterima oleh golongan yang mendapat ganjaran syurga. Mereka bebas menikmati pelbagai hidangan yang ada di dalam syurga serta adanya bidadari yang menemani mereka sepanjang masa. Maksud ini juga telah dijelaskan oleh Allah dalam surah Ad-Dahr yang bererti:
“Mereka tidak merasakan di dalamnya terik matahari dan tidak pula dingin yang sangat. Dan naungan (pohon-pohon) dekat di atas mereka dan buahnya mudah dipetik.”
                                                                                    (Ad-Dahr: 13-14)
Gambaran syurga sangat jelas diceritakan dalam al-quran dan juga diceritakan oleh alim ulama supaya manusia berbuat baik di dunia. Sungguhpun begitu, pengarang juga ada menceritakan beberapa lagi gambaran tentang ganjaran syurga supaya dapat dijadikan pengajaran kepada masyarakat.

Dalam syair kiamat ini, penyair telah menceritakan secara jelas tentang ganjaran yang bakal diterima oleh manusia sama ada baik ataupun buruk apabila berlakunya hari kiamat nanti. Penceritaan ini secara tidak langsung mampu menjadi medium terbaik kepada masyarakat supaya berbuat baik selagi hayat dikandung badan.

SASTERA KEROHANIAN GERBANG PENDIDIKAN TIDAK FORMAL SEHARIAN
            Penggunaan bahasa yang bersifat indah dan berseni dalam karya sastera mampu menjadi aset penting dalam usaha mendidik masyarakat secara tidak langsung. Hal ini demikian kerana, penggunaan bahasa yang halus dan sopan dapat memikat masyarakat supaya mengambil ikhtibar daripada kisah-kisah yang disampaikan melalui karya sastera walaupun pendidikan ini secara tidak langsung. Pendidikan secara tidak langsung ini bererti masyarakat dalam mempelajarinya walaupun tidak diajar oleh seorang guru di sekolah atau institusi pendidkan secara sistematik.

    iii.            Rukun Islam
Dalam konteks ini, pengarang juga menyelitkan unsur-unsur yang wajib dipercayai oleh manusia seperti rukun Islam. Penyelitan kepercayaan ini sememangnya memberi pendidikan kepada pembaca walaupun secara tidak langsung. Hal ini demikian kerana, penyelitan ini membolehkan pembaca mengetahui bahawa rukun Islam wajib dipatuhi oleh manusia dan akan menerima azab sekiranya mengingkarinya. Antara rangkap yang memaparkan maksud ini adalah seperti berikut:
                                    Orang yang puasa sangatlah mulia,
                                    Diba/ha/gikan Allah kepada dia,
                                    Balas ilmunya di dalam dunia,
                                    Berlapar, dahaga sebab percaya.
                                                                        (Muhammad Fanani, 1996)

Dalam rangkap ini jelas menunjukkan bahawa Allah S.W.T sangat menyukai orang yang mematuhi segala perintahnya. Mereka akan menerima balasan yang setimpal dengan amalan yang dilakukan semasa hayat mereka di dunia. Allah S.W.T juga menyeru umat manusia supaya mematuhi rukun Islam agar mendapat kesenangan di akhirat kelak.

    iv.            Amalan kehidupan harian
Syair kerohanian juga mengajar manusia supaya melakukan amalan harian dengan baik dan sentiasa beringat dalam setiap tindakan. Hal ini demikian kerana, setiap tindakan yang dilakukan mesti akan dihitung oleh Allah semasa hari pembalasan kelak. Justeru, pengarang turut mengingatkan pembaca supaya mencari nafkah yang halal dan sentiasa menuntut ilmu. Contohnya seperti rangkap ini:
                                    Harta itu harus dicari,
                                    Serta ilmu engkau pelajari,
                                    Amalkan olehmu sehari-hari,
                                    Supaya selamat badan sendiri.
                                                                        (Muhammad Fanani,1996)

Dalam rangkap ini pengarang telah berpesan kepada manusia supaya mencari harta dan menuntut ilmu. Harta tanpa ilmu sudah tentu akan menyesatkan manusia. Sekiranya harta yang dikumpul dengan banyak dan dari sumber yang halal ditambah pula dengan ilmu yang mantap didada, sudah tentu menjadi pelindung kepada manusia agar tidak terbabas dalam menjalani kehidupan harian dengan sempurna. Kita boleh lihat kisah Nabi Ayyub a.s yang merupakan seorang hamba yang soleh ataupun penyabar. Allah pernah memberikan kekayaan kepada beliau dan kemudian mencabutnya semula. Dalam keadaan kaya dan miskin beliau bersederhana dan tenang sahaja. Inilah sifat yang patut dicontohi oleh umat manusia kini. Oleh hal yang demikian, harta yang diberi oleh Allah S.W.T sebenarnya ingin menguji keimanan manusia sekiranya, tanpa ilmu di dada sudah tentu manusia akan leka mengejarnya hingga terbabas dari landasan kehidupan hakiki.

      v.            Rukun iman
Dalam teks ini, pengarang juga menceritakan tugas-tugas malaikat. Sebagai hamba kepada pencipta yang agung, manusia haruslah mempercayai kewujudan malaikat dengan sebaiknya. Hal ini demikian kerana, beriman dengan malaikat akan dituntut oleh Allah di akhirat kelak. Rangkap yang menerangkan kisah ini adalah seperti berikut:

                                    Tatkala kiamat sudahlah nyata,
                                    Malakulmaut pun datanglah serta,
                                    Mengambil nyawa/h sekaliannya rata,
                                    Habislah mati sekaliannya kita.
                                                                        (Muhammad Fanani,1996)

Dalam rangkap ini pengarang menceritakan tugas malaikat Izrail untuk mengambil nyawa manusia. Sebagai seorang hamba, kita wajib mempercayainya kerana malaikat Izrail sememangnya akan memgambil nyawa manusia mengikut masa dan ketikanya yang telah diputuskan oleh Allah S.W.T. Al-qurtubi memberi komen dalam kitab at-tazkirah; menurut ulama-ulama kita melihat barangsiapa yang melihatnya pasti akan terperanjat ketakutan, lantaran hebat dan bengisnya. Namun demikian, tidak ada yang mengetahui hakikat ini kecuali orang yang melihatnya (Muhammad Kamal Qhilab, 1994). Demikianlah, sekilas pandang mengenai malaikat Izrail yang tugasnya mengambil nyawa manusia. Oleh hal yang demikian, manusia mestilah mempercayai kewujudan malaikat kerana telah menjadi sebahagian daripada makhluk ciptaan Allah yang wajib dipercayai oleh setiap manusia yang bergelar hamba.

Secara tidak langsung, sastera kerohanian telah menunjukkan kepada masyarakat bahawa kandungan teks sastera kerohanian ini mampu mendidik manusia supaya mendalami ilmu keagamaan ekoran terdapat unsur pendidikan keagamaan dalam teks-teks sastera kerohaniaan. Oleh hal yang demikian, sastera kerohanian mampu menjadi medium sokongan terbaik dalam memberi pendidikan keagamaan kepada masyarakat.



SASTERA KEROHANIAN MEMBERI PERINGATAN KEPADA MANUSIA
Sastera kerohanian juga mampu menjadi sumber peringatan kepada manusia agar tidak mengulangi peristiwa masa lampau yang telah dilakukan oleh kaum terdahulu. Mereka kebanyakan mengingkari perintah Allah dan Rasul. Akhirnya, mereka dikenakan hukuman yang setimpal oleh Allah di akhirat kelak. Dalam syair kiamat juga diceritakan kaum-kaum yang menerima azab daripada Allah, golongan yang terlepas daripada azab seksaan dan peristiwa-peristiwa yang berlaku sebelum berlakunya kiamat. Hal ini secara tidak langsung akan menyebarkan agama Islam kepada masyarakat.

    vi.            Kaum-kaum yang mendapat azab seksaan
Dalam “Syair Kiamat” ini telah diceritakan oleh pengarang tentang seksaan yang diterima oleh manusia yang ingkar akan suruhan Allah. Mereka akan menerima seksaan mengikut kesalahan yang dilakukan semasa hidup di dunia. Rangkap yang menceritakan berkaitan kaum ini ialah:
                                    Dua belas kaum sekaliannya,
                                    Dibangkitkan Allah daripada kuburnya,
                                    Masing-masing atas kadarnya,
                                    Menerimalah balas perbuatannya.
                                                                        (Muhammad Fanani,1996)


Dalam “Syair Kiamat” ini telah diceritakan setiap hukuman yang akan diterima oleh dua belas kaum yang akan mendapat azab seksaan lantaran kesalahan yang dilakukan semasa hidup di dunia. Allah S.W.T juga telah menyatakan dalam surah Ibrahim yang bermaksud:
“Dan di belakang orang takbur dan berani itu neraka jahanam dan diberi minum air dari darah campur nanah. Dia minum minuman itu hampir-hampir tidak dapat menelan, dan ia kedatangan maut dari semua arah, akan tetapi tidak dapat mati dan di belakang orang itu diseksa yang amat berat”.
(Ibrahim: 16-17)
Secara keseluruhannya, azab-azab yang diterima oleh dua belas kaum ini mampu memberi pengajaran kepada masyarakat supaya sentiasa berpegang teguh pada ajaran Islam yang sederhana dan memiliki keperibadian yang terpuji. Pada masa yang sama juga akan mengajar masyarakat erti mentauhidkan Allah S.W.T. semasa hidup di dunia.

  vii.            Peristiwa sebelum kiamat
Pengarang juga menceritakan gambaran berlakunya hari kiamat mengikut kronologi yang lengkap. Setiap peringkat yang diterangkan oleh pengarang ini mampu memberi keinsafan dan mengajar masyarakat supaya beriman terhadap hari kiamat kerana hari kiamat pasti akan berlaku. Berikut merupakan rangkap yang menerangkan berkaitan peristiwa sebelum berlakunya kiamat:
                                    Inilah pasal suatu cerita,
                                    Tandanya kiamat diberi nyata,
                                    Dengan kehendak tuhannya kita,
                                    Diturunkan Allah dajal yang dusta.
                                                                        (Muhammad Fanani,1996)

Dalam rangkap ini pengarang menceritakan tentang penurunan Almasih Dajjal ke negeri Syam dan Rum. Ketika itu negeri tersebut sangat kering dan mengalami masalah kelaparan hingga ramai penduduk yang meninggal akibat kelaparan. Penurunan Almasih Dajjal juga telah menyebabkan ramai umat Islam yang terpesong dengan tipu daya Almasih Dajjal. Almasih membawa maksud seorang pengembara manakala, Dajjal bererti banyak dustanya dan juga penipuannya (Moh. Abdai Rathomy, 1978). Dalam hadis juga telah dikhabarkan oleh Rasulullah s.a.w tentang Almasih Dajjal ini yang bermaksud:
Tiada seorang Nabi pun yang diutus Allah, melainkan Nabi itu pasti menakut-nakuti kepada ummatnya perkara dajjal tadi. Dajjal itu akan keluar kepadamu semua, kemudian tidak samar-samar lagi bagimu semua akan hal-ikhwalnya dan tidak samar-samar untukmu semua, bahawa tuhanmu itu benar-benar tidak bermata sebelah. Sesungguhnya Dajjal itu bermata sebelah, yang tidak dapat digunakan yang sebelah kanan (yang dapat melihat adalah sebelah kiri), seolah-olah matanya itu menonjol ke muka.
(Diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim)
Secara kesimpulannya, syair kerohanian ini menceritakan kepada masyarakat bahawa akan berlakunya penurunan Almasih Dajjal yang akan menghuru-harakan dunia sebelum berlakunya kiamat. Justeru, sebagai manusia yang mempercayai kewujudan Allah, kita mestilah mempercayai bahawa akan berlakunya saat ini. Oleh hal yang demikian, akan kukuhlah kepercayaan dihati bahawa akan berlakunya saat-saat ini seperti yang diceritakan didalam “Syair Kiamat” dan besertakan kebenaran hadis nabi.

viii.            Golongan yang terlepas dari azab seksaan neraka
Pengarang juga menceritakan beberapa golongan yang terlepas daripada seksaan azab neraka. Apabila diceritakan hal ini, masyarakat secara tidak langsung akan mendapat maklumat bahawa amal kebaikan yang dilakukan akan mendapat balasan yang baik. Justeru, akan menjadi pendidikan agama secara tidak langsung berlandaskan al-Quran dan as-sunnah. Antara rangkap yang menceritakan berkaitan golongan ini adalah:
                                    Ini pula suatu riwayatnya,
                                    Di dalam hadis tersebutnya,
                                    Sepuluh kaum sekaliannya,
                                    Bahaya kiamat lepas padanya.
(Muhammad Fanani,1996)

Dalam syair ini, pengarang menceritakan terdapat sepuluh golongan yang terlepas daripada azab seksaan pada hari kiamat nanti. Golongan ini terdiri daripada orang yang sentiasa menegakkan syiar Islam walau dimana mereka berada. Hal ini telah memberi pendidikan kepada masyarakat kini.

Secara keseluruhannya, sastera kerohanian ini mampu memberi pengajaran kepada masyarakat kini kerana penyair menceritakan peristiwa-peristiwa yang berlaku semasa di akhirat kelak ekoran amalan yang dilakukan semasa hidup di dunia. Oleh hal yang demikian, masyarakat akan sentiasa melakukan kebaikan kerana ingin mendapat ganjaran yang baik di akhirat nanti.

Sungguhpun sastera kerohanian mampu menjadi medium sokongan terbaik dalam pendidikan agama Islam kepada masyarakat, terdapat juga beberapa kelemahan yang menyebabkan sastera kerohanian ini tidak dapat menyampaikan mesejnya dengan sempurna. Hal ini disebabkan sesebuah karya sastera itu dikarang mengikut zamannya dan penggunaan bahasa juga mempunyai sedikit kelainan. Lantaran itu, terdapat beberapa kekangan dari segi latar masa dan persekitaran masyarakat tersebut.

PERCANGGAHAN TAFSIRAN MELALUI TEKS KARYA SASTERA

MAKSUD YANG KURANG JELAS
Dalam sesebuah karya sastera, pengarang menggunakan bahasa tinggi kerana ingin menonjolkan nilai teks sastera tersebut. Kadang kala, bahasa yang digunakan ini sukar difahami oleh pembaca hingga menyebabkan tafsiran maksud yang ingin disampaikan oleh pengarang menjadi terpesong dari maksud asal. Hal ini demikian kerana, setiap pembaca mempunyai kemampuan untuk mentafsir yang berbeza. Antaranya adalah seperti berikut:
                                    Mahligai bertatah mutiara di karang,
                                    Intan permata beberapa kerang,
                                    Dindingnya kaca yang amat terang,
                                    Kemuncupnya jamrut sangat benderang.
(Muhammad Fanani,1996)

Dalam rangkap ini umpamanya, pengarang cuba menerangkan gambaran syurga kepada pembaca. Sekiranya pembaca tidak pernah mengetahui gambaran syurga, sudah tentu mereka tidak dapat mengetahui maksud yang ingin disampaikan oleh pengarang dengan jelas. Dalam surah Al-Waqi’ah juga Allah s.w.t telah menggambarkan keadaan syurga tersebut yang bermaksud:
Para ahli syurga itu sama duduk-duduk di atas pelami-pelamin yang bertatahkan emas dan batu permata, mereka duduk bersandar di atasnya, berhadap-hadapan. Merekapun dikelilingi oleh ana-anak muda yang tetap muda.
(Al-Waqi’ah: 15-17)
Pada masa yang sama juga, pengarang juga menggunakan bahasa Melayu lama dan bahasa Arab yang sukar difahami oleh pembaca. Sekiranya pembaca tidak mempunyai pengetahuan yang tinggi tentang bahasa melayu lama, sudah tentu mereka tidak dapat meneka maskud yang ingin disampaikan oleh penyair. Justeru, matlamat untuk menjadi medium sokongan terbaik dalam memberi pendidikan agama kepada masyarakat akan menjadi semakin sukar. Umpamanya:
                                    Inilah firman Tuhan kita,
                                    Al-lazina la ya’tuna z-zakata,
                                    Wa hum bi i-akhirati pula dikata,
                                    Hum kafiruna sekalian kita.
                                                                        (Muhammad Fanani,1996)

Pengarang menggunakan perkataan Arab untuk menyampaikan mesej kepada pembaca. Sungguhpun begitu, maksud rangkap yang ingin disampaikan ini tidak diceritakan dengan terperinci kepada pembaca. Justeru, maksudnya akan menjadi semakin sukar untuk difahami walaupun ayat tersebut merupakan firman Allah s.w.t yang seringkali diungkapkan oleh masyarakat ataupun alim ulama.

PENCERITAAN YANG KURANG MENYELURUH
Dalam “Syair Kiamat” umpamanya, pengarang menceritakan kepada pembaca gambaran hari akan berlakunya kiamat, saat-saat mendapat seksaan neraka dan golongan-golongan yang menerima azab. Sungguhpun begitu, setiap penceritaan ini tidak disampaikan dengan menyeluruh oleh pengarang dan hanya menceritakan peristiwa tertentu sahaja seperti berikut:

Di atas kenderaan ia berjuang,
Pantasnya bukan alang-kepalang;
Di atas titian sangat terbilang,
Ke dalam syurga tempatnya pulang.
(Muhammad Fanani,1996)

Dalam rangkap ini, pengarang menceritakan perjalanan manusia melintasi titian sirat semasa di akhirat kelak. Namun demikian, pengarang tidak menceritakan bahawa gambaran tersebut merupakan kisah untuk melintasi titian sirat mengikut amal ibadat yang dilakukan semasa hayat di dunia. Oleh hal yang demikian, maksud yang ingin disampaikan menjadi kabur dan menyebabkan pembaca tertanya-tanya maksud yang ingin disampaikan oleh pengarang. Dalam hal ini, gambaran cerita yang lebih jelas dapat dilihat daripada sebuah cerita daripada Imam Wahab pernah berkata, bahawa Nabi s.a.w berdoa:
Ya Allah, selamatkanlah!!!......selamatkanlah umatku….!!! Amak para manusia sama melintasi jambatan. Sebahagian mereka melintasi jambatan yang licin dan sangat tajam itu sampai bergoyang gementar ketakutan. Maka lewatlah:  
1.      Golongan pertama seperti kilat yang memancar
2.      Golongan kedua seperti angin lebat yang menghembus
3.      Golongan ketiga seperti burung yang terbang cepat
4.      Golongan keempat seperti larinya kuda pacuan
5.      Golongan kelima seperti larinya lelaki yang kuat
6.      Golongan keenam seperti larinya binatang ternak
7.   Golongan ketujuh selama sehari semalam
(M.Ali Chasan Umar, 1980)

Berikut merupakan gambaran perjalanan manusia yang melintasi titian sirat yang telah digambarkan kepada manusia. Lantaran itu, penceritaan yang kurang menyeluruh akan menyebabkan masyarakat kekaburan maklumat mengenai gambaran perjalanan di titian sirat tersebut hinggakan maksud yang ingin disampaikan kurang berkesan kepada masyarakat.

Secara keseluruhannya, sastera kerohanian ini boleh menjadi medium sokongan terbaik dalam mengajar pendidikan Islam sekiranya pengarang menyampaikan cerita tersebut dengan lebih mudah untuk difahami oleh pembaca. Sekiranya perkataan yang digunakan mudah difahami dan berkesan sudah tentu maksud yang ingin disampaikan kepada pembaca lebih berkesan dan sampai kepada pembaca dengan berkesan. Oleh hal yang demikian, sastera kerohanian ini mampu menjadi penyokong kepada pendidikan keagamaan kepada masyarakat.

KESIMPULAN
Sastera keagamaan merupakan sebuah karya sastera yang berteraskan keislaman sepertimana yang diungkapkan oleh Shahnon Ahmad: sastera kerana Allah, berhikmah untuk manusia sejagat (Shafie Abu Bakar, 1980). Apabila sastera ini menggambarkan penceritaan tentang hari akhirat, balasan-balasan tentang kekhilafan yang dilakukan semasa hidup di dunia dan ganjaran yang diperoleh maka, pembaca boleh mengetahui sedikit sebanyak berkaitan agama Islam walaupun secara tidak langsung. Peranan sastera kerohainan ini mampu mendidik masyarakat dengan ilmu-ilmu keagamaan untuk sujud kepada Allah S.W.T. Hal ini demikian kerana, setiap rangkap sastera keagamaan mempunyai unsur nasihat dan pengajaran kepada pembaca. Secara tidak langsung, pembaca akan mengetahui amar makruf dan nahi mungkar dalam kehidupan harian.
Selain itu, sastera kerohanian juga mampu menanam akidah Islam dalam jiwa masyarakat ekoran wujudnya amalan-amalan yang wajib dipercayai oleh masyarakat Islam seperti rukun Islam dan rukun Iman. Secara tidak langsung akan menyebabkan masyarakat menjadi lebih bertaqwa kepada Allah. Hal inilah yang menyebabkan sastera kerohanian mampu menjadi medium sokongan terbaik dalam pendidikan agama Islam kepada masyarakat.
Di samping itu, sastera kerohanian juga mempunyai sedikit kekurangan kerana terdapat sesetengah maksud yang ingin disampaikan oleh pengarang melalui karya sastera sukar difahami oleh pembaca. Lantaran itu, pembaca tidak dapat menafsir maksud tersebut dengan baik hinggakan maksud sebenar karya sastera tersebut tidak sampai kepada pembaca dengan baik. Oleh hal yang demikian, karya sastera kerohanian yang bertujuan mendidik masyarakat tidak tercapai matlamat asalnya.
Secara keseluruhannya, sastera kerohanian mampu menjadi medium sokongan terbaik kepada pendidikan agama Islam kepada masyarakat walaupun terdapat beberapa kekurangan. Kekurangan tersebut sebenarnya boleh diatasi sekiranya pembaca memiliki ilmu yang tinggi kerana sastera kerohanian juga turut menekankan unsur dakwah kepada masyarakat. Oleh hal yang demikian, sastera kerohanian sangat sesuai untuk menyokong mendidikan agama Islam kepada masyarakat sejagat berdasarkan ciri-ciri karya tersebut seperti “Syair Kiamat” yang banyak mendidik manusia untuk mengingati akhirat berlandaskan al-quran dan as-sunnah. Hal inilah yang dikatakan bahawa sastera kerohanian mampu menjadi pendidikan tidak langsung dalam mengajar unsur keagamaan kepada masyarakat.

RUJUKAN
Abdul Aziz, 1986. Hari Kiamat, Hari Akhirat, Hari Pembalasan. Singapura: Pustaka Nasional, PTE. LTD.

Abdul Razak Naufal, 1976. Hari Kiamat. Singapura: Pustaka Nasional.
Abdul Razak Naufal, 1977. Hari Akhirat. Singapura: Pustaka Nasional.
Al-Mubin Terjemahan Al-Hidayah Al-Quran Al Karim (Rasm Uthmani), 2012. Kuala Lumpur: Al Hidayah house of Qur’an SDN BHD.

Ali Ahmad, 1994. Pengantar Pengajian Kesusasteraan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

M. Ali Chasan Umar, 1980. Mahkamah di Padang Mashsyar. Singapura: Alharaman PTE. LTD.

Moh. Abdai Rathony, 1978. Inilah Hari Pembalasan (Kiamat). Indonesia: R.T Alma’Arif. Bandung,

Muhammad Kamal Qhilab, 1994. Taman Syurga atau Lubang Neraka. Kuala Lumpur: Dinie Publisher.

Muhammad Fanani, 1996. Syair Kiamat dalam Sastra Indonesia Lama. Jakarta: Pusat Pembinaan dan Pengembangan Bahasa, Departemen Pendidikan Nasional.
Mohd. Kamal Hassan, 1980. Sastera Islam dalam Sastera Pemikiran Kesusasteraan Islam (Gabungan Penulis Islam Melayu). Kuala Lumpur: Gabungan Penulis Islam Malaysia (GAPIM).

Noriah Taslem, 1993. Teori dan Kritikan Sastera Melayu Tradisional. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka

Shafie Abu Bakar, 1980. Kertas 1 Sastera Melayu dan Islam dalam Sastera Pemikiran Kesusasteraan Islam (Gabungan Penulis Islam Melayu). Kuala Lumpur: Gabungan Penulis Islam Malaysia (GAPIM).

Shahnon Ahmad, 1980. Kertas 2 Sastera Melayu dan Islam dalam Sastera Pemikiran Kesusasteraan Islam (Gabungan Penulis Islam Melayu). Kuala Lumpur: Gabungan Penulis Islam Malaysia (GAPIM).

Syaikh Abdul Hamid Kusyuk, 1984. Hari Kebenaran. Kuala Lumpur: Alharamain SDN. BHD.

Tuesday, 5 February 2013

MELAYU by Usman Awang



Melayu itu orang yang bijaksana
Nakalnya bersulam jenaka
Budi bahasanya tidak terkira
Kurang ajarnya tetap santun
Jika menipu pun masih bersopan
Bila mengampu bijak beralas tangan




Melayu itu berani jika bersalah
Kecut takut kerana benar,
Janji simpan di perut
Selalu pecah di mulut,
Biar mati adat
Jangan mati anak.

Melayu di tanah Semenanjung luas maknanya:
Jawa itu Melayu,
Bugis itu Melayu
Banjar juga disebut Melayu,
Minangkabau memang Melayu,
Keturunan Acheh adalah Melayu,
Jakun dan Sakai asli Melayu,
Arab dan Pakistani, semua Melayu
Mamak dan Malbari serap ke Melayu
Malah muaalaf bertakrif Melayu

Dalam sejarahnya
Melayu itu pengembara lautan
Melorongkan jalur sejarah zaman
Begitu luas daerah sempadan

Sayangnya kini segala kehilangan
Melayu itu kaya falsafahnya
Kias kata bidal pusaka
Akar budi bersulamkan daya
Gedung akal laut bicara

Malangnya Melayu itu kuat bersorak
Terlalu ghairah pesta temasya
Sedangkan kampung telah tergadai
Sawah sejalur tinggal sejengkal tanah sebidang mudah terjual
Meski telah memiliki telaga
Tangan masih memegang tali
Sedang orang mencapai timba.

Berbuahlah pisang tiga kali
Melayu itu masih bermimpi
Walaupun sudah mengenal universiti
Masih berdagang di rumah sendiri.

Berkelahi cara Melayu
Menikam dengan pantun
Menyanggah dengan senyum
Marahnya dengan diam
Merendah bukan menyembah
Meninggi bukan melonjak.

Watak Melayu menolak permusuhan
Setia dan sabar tiada sempadan
Tapi jika marah tak nampak telinga
Musuh dicari ke lubang cacing
Tak dapat tanduk telinga dijinjing

Maruah dan agama dihina jangan
Hebat amuknya tak kenal lawan
Berdamai cara Melayu indah sekali
Silaturrahim hati yang murni
Maaf diungkap senantiasa bersahut
Tangan diulur sentiasa bersambut
Luka pun tidak lagi berparut

Baiknya hati Melayu itu tak terbandingkan
Selagi yang ada sanggup diberikan
Sehingga tercipta sebuah kiasan:

"Dagang lalu nasi ditanakkan
Suami pulang lapar tak makan
Kera di hutan disusu-susukan
Anak di pangkuan mati kebuluran"

Bagaimanakah Melayu abad dua puluh satu
Masihkan tunduk tersipu-sipu?

Jangan takut melanggar pantang
Jika pantang menghalang kemajuan;

Jangan segan menentang larangan
Jika yakin kepada kebenaran;

Jangan malu mengucapkan keyakinan
Jika percaya kepada keadilan

Jadilah bangsa yang bijaksana
Memegang tali memegang timba
Memiliki ekonomi mencipta budaya
Menjadi tuan di negara Merdeka

Thursday, 2 August 2012

SambutaN JubLi PeraK ASAT 2012

sedar tak sedar sudah masuk angka ke-25 tahun anugerah seri asrama terbilang kedah. memang benar kata pepatah pengalaman mendewasakan manusia. Sepanjang 25 tahun penganjuran ASAT pelbagai kejayaan telah ditempa oleh negeri jelapang padi ini. Bermula dari aspek keceriaan sehinggalah ke kemenjadian pelajarnya. Bukan sekadar mengukir nama di peringkat negeri malah telah melakar pelbagai kejayaan yang membanggakan di persada kebangsaan dan antarabangsa. Sekilas ikan di ari sudah tahu mana jantan dan betinanya. Apa tidaknya, dalam setiap pertandingan ASAT peringkat kebangsaaan segala keputusan bagi negeri kedah sudah pun boleh dijangkakan melalui sekilas pandang sahaja. Inilah pentingnya pengalaman tersebut. Antara kejayaan yang telah ditempa ialah Johan Anugerah Seri Asrama Terbilang hampir setiap tahun dan tokoh-tokoh pelajrnya pula tidak pernah mengecewakan apabila bertanding di peringkat kebangsaan. Inilah gunanya pengalaman tersebut. Pada tahun ini, ASAT kedah meraikan sambutan jubli perak dan penghargaan ini telah dirakamkan dalam buku Jasamu Dikenang hasil pelajar-pelajar SMK Tunku Temenggung, Pendang Kedah.

gambaran pentas 

Buku ini merupakan ilham Tn Haji Abdullah Thani Ibrahim atau nama panggilan manja kami semua "pak ndak". seorang yang sangat komited terhadap tugasnya dan mempunyai idea yang sangat bernas. Hasil usaha celiau telah meletakkan negeri kedah sebagai penanda aras untuk setiap aktiviti asrama. tahun ini juga merupakan tahun terakhir beliau kerana akan bersara wajib ogos ini. Selamat bersara pak ndak...

pak ndak meneliti persiapan terakhir

majlis yang berlangsung penuh gilang gemilang ini juga telah menemukan aku dengan guru sekolah rendahku yang sangat spoting...tidak diduga masih mengenali daku dan sahabat yang lain. tidak dilupaka juga kepada warden yang menjaga aku dari tingkatan satu hingga 6. inilah hadiah terbaik buatku..

bersama cikgu martdiyah dan pak ndak

bersama cikgu fauziah

masa ni juga la dapat berjumpa rakan-rakan yang telah lama tidak bersua. semuanya sudah berjaya. bangga rasanya melihat mereka. apa pun kamu semua berjaya atas usaha sendiri dan berbanggalah dengan hasilnya. tidak dilupakan juga kawan-kawan lama di asrama. turut serta memeriahkan suasana. sangat gembira berjumpa anda semua.

bersama rakan-rakan seperjuangan

bersama-sama rakan asrama

dan akhirnya berbangga jugalah melihat asrama tempat aku dibesarkan mencapai pelbagai kejayaan. tahniah buat semua yang meneruskan legasi kejayaan asrama. harap anda teruskan usaha untuk terus meletakkan asrama SMKTT sebaris dengan asrama terbaik di kedah dan malaysia...aminn...

ieyka dan pak ndak

anugerah khas JPN bekas pelajar

 anugerah PK HEM terbaik...cikgu mahadir

anugerah jasamu dikenang...

anugerah seri perkasa & dokumentasi terbaik

bersama cik zafirah chienta dan pak ndak...

terima kasih buat semua..tahniah dan syabas atas kejayaan anda..keep in touch..